Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman ketika perlawanan kedua peringkat kumpulan saingan AFC Champions League (ACL) menentang BG Pathum United nyata turut mendapat perhatian peminat bola sepak Thailand.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Leo, Arif menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-2 wakil tunggal Liga Malaysia itu sekaligus memastikan JDT mendapat kemenangan pertama dalam saingan musim ini.

Selepas perlawanan, salah seorang peminat di laman media sosial X menyatakan beliau mahu melihat Arif untuk beraksi di saingan Liga Jepun dalam tempoh masa dua hingga ke tiga tahun lagi setelah melihat persembahan yang ditampilkan pemain itu ketika bertemu BG Pathum.

Akan tetapi, menurut beliau perkara yang paling penting ialah tidak terburu-buru untuk menghantar Arif Aiman ke Jepun kerana pemain itu masih muda dan mempunyai banyak masa dan ruang untuk meningkatkan kualiti.

Pemain Thailand bukanlah asing dalam saingan Liga Jepun dimana sebelum ini, beberapa pemain bintang dari negara itu pernah beraksi di Jepun, malah ada yang menjadi pemain termahal selain dilantik sebagai ketua pasukan.

Antara pemain bintang yang pernah beraksi di Jepun ialah Chanathip Songkrasin dimana beliau pernah beraksi bersama dua pasukan iaitu Hokkaido Consadole Sapporo dan Kawasaki Frontale. Chanathip menjadi pemain termahal yang pernah dibeli oleh Kawasaki dari Consadole.

Arif Aiman
Sumber Gambar: ESPN

Seterusnya, Theerathon Bunmathan pernah beraksi bersama Vissel Kobe dan Yokohama F Marinos dimana bersama Yokohama, kapten Thailand ini pernah memenangi J1 pada musim 2019.

Penyerang lagenda Thailand, Teerasil Dangda juga pernah beraksi bersama dua pasukan di Jepun dimana beliau menyarung jersi Sanfrecce Hiroshima dan Shimizu S-Pulse.

Selain itu, beberapa pemain lain yang pernah beraksi di Jepun ialah Kawin Thamsatchanan, Supachok Sarachat (Consadole Sapporo), Thitiphan Puangchan (Oita Trinita), Ekanit Panya (Urawa Red Diamonds), Jakkit Wachpirom (FC Tokyo) dan Chaowat Veerachat (Cerezo Osaka).